23 Jun 2013

Taekwondo

Awal tahun ini, Amin memberitahu yang dia berminat untuk menyertai Taekwondo. Memandangkan di sekolah ada aktiviti koko taekwondo, jadi mak dan abah pun mendaftarkan Amin untuk menyertai taekwondo.
Latihan hanya diadakan dua kali seminggu iaitu pada hari Sabtu pukul 11.00 pagi dan Ahad 5.00 petang. Setiap sesi selama 1 jam 30 minit dan kadangkala berlanjutan selama 2 jam. Lihatlah aksi Amin yang begitu bersemangat berlatih.
Baru-baru ini Amin telah lulus ujian untuk talipinggang kuning selepas menjalani ujian kenaikan gred. Pemilihan telah dibuat oleh jurulatih kepada setiap pelatih yang berkelayakan kerana hanya yang layak sahaja akan dipilih untuk menduduki ujian.
Gambar di atas adalah semasa sesi ujian dijalankan. Ramai juga yang mengambil bahagian dalam sesi ujian yang melibatkan seluruh sekolah di sekitar Kuala Terengganu.
Ni pula semasa sesi latihan mingguan yang hanya melibatkan sekolah Amin sahaja. Jurulatih yang mengajar Amin adalah Sir Salihin dari WTF. Amin memang seronok bertaekwando dan tak sabar-sabar untuk menunggu sesi latihan berikutnya.

06 Jun 2013

Cuti-cuti Malaysia | Cameron Highland

      Lihat strawberi ingat Cameron Highland. Cuti sekolah kali ini, RIS-FAMILI mengambil peluang bercuti ke Cameron Highland. Walaupun dah beberapa kali ke sana namun masih lagi teruja untuk ke Cameron Highland memandangkan sekarang adalah musim panas di Terengganu. Lagipun mak ada sedikit kerja di Cameron Highland jadi RIS-FAMILI mengambil peluang untuk turut serta.
      Menginap selama 3 hari 2 malam di Cameron terasa begitu cepat je. Tak banyak bersantai di sekitar Cameron kerana jalan begitu sesak dengan kenderaan maklumlah musim cuti sekolah. Sekadar bersiar-siar di pasar malam Brinchang, Kea Farm dan Tanah Rata je.

      Bagi Ris-Famili, Cameron masih sejuk cuma kesejukkannya sedikit berkurangan berbanding 5 tahun dahulu. Yang penting masih sejuk.
      Seperti biasa, sedikit strawberi dan jagung madu sangkut di tangan untuk dibawa pulang.

18 Mei 2013

Pertandingan Mewarna @ Astaka

Bergambar Sebelum Mula Pertandingan

Pada 11 Mei 2013 lalu, Amin telah menyertai pertandingan mewarna anjuran Astaka Shopping Centre dan Koko Krunch. Penyertaan adalah percuma dan hanya perlu beli koko krunch je. Pertandingan ini terbuka kepada semua kanak-kanak berumur 4 hingga 9 tahun dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah dari 4 - 6 tahun dan kumpulan kedua dari 7 - 9 tahun. Disebabkan Amin berada di antara kedua-dua kategori, jadi Amin terpilih untuk masuk kategori 4 - 6 tahun.

Peserta tekun mewarna. Amin pakai baju berwarna hijau.

Ini adalah kali kedua Amin menyertai pertandingan mewarna. Tapi kali ini mak dan abah turut bersama-sama di tempat pertandingan. Yang pertama, mak dan abah tak ikut sekali kerana di uruskan oleh Tadika (pergi dan balik). Hampir 30 peserta bagi kategori yang Amin sertai. Ada di antara peserta membawa meja dan kerusi sendiri untuk mewarna tapi ramai juga yang sekadar membawa alatan mewarna saja termasuklah Amin. Maklumlah pengalaman pertama mak dan abah. Akan datang bolehlah bawa meja dan kerusi jika masuk pertandingan lagi.

Atas : Asal | Bawah : Hasil Kreativiti Amin

Sepanjang pertandingan para peserta dan ibubapa disediakan makanan koko krunch maklumlah koko krunch adalah penaja. Makanlah sebanyak mana yang di perlukan, tapi kalau nak minum kenalah minum air sendiri kerana air tak disediakan (kecuali susu yg dimasukkan ke dalam koko krunch). Lukisan yang perlu diwarnakan pula sudah tentunya gambar koko krunch sepertimana gambar di atas.

Semasa sesi mempamer lukisan yang dipilih.

Masa yang diberikan agak lama iaitu 2 jam 30 minit. Tapi Amin hanya ambil masa tak sampai 2 jam. Walaupun lukisan yang Amin warnakan agak cepat namun hasilnya 'not bad'. Rasanya kalau Amin betul-betul manfaatkan 2.5 jam tersebut mungkin lagi anggun lukisan Amin. Bukan Amin je yang habis awal, ramai lagi yang lebih awal selesai mewarna dari Amin.

Kiri : Bergambar bersama maskot koko krunch | Kanan : Sesi penyampaian hadiah.

Sesi penyampaian hadiah diadakan setengah jam selepas selesai pertandingan mewarna. Walaupun Amin tak terpilih sebagai salah satu pemenang namun Amin amat seronok menyertai pertandingan ini. Kalau ada peluang, nanti Amin nak join lagi. Walaupun tak menang, setiap peserta diberikan hadiah set mewarna sebagai tanda penghargaan. Yang menang pula dapat produk koko krunch.