31 Dis 2015

SALAM 2016

      Tahun 2015 berakhir pada Khamis dan mulai Jumaat kita akan melangkah ke Tahun 2016. Tahun 2015 meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan dan akan terus dibawa ke tahun 2016. RIS-FAMILI berharap tahun 2016 akan bertambah baik dari tahun-tahun lalu.
Sumber Gambar Klik Sini
SALAM 2016 KEPADA SEMUA

20 Dis 2015

Amin Peneman Abah

Bermula 6 Disember 2015 hingga minggu akhir sebelum buka sekolah, Amin ditugaskan menemani abah di pejabat. Sebelum ini RIS-FAMILI bercuti selama 3 minggu. Selain boleh menemani abah, boleh juga Amin tengok suasana tempat kerja abah. Terima kasih Amin kerana sudi menemani abah waktu abah amat memerlukan. Dikongsikan gambar-gambar Amin semasa di opis abah.




25 Nov 2015

River Cruise @ Taman Tamadun Islam


      Inilah satu lagi aktiviti yang pertama kali RIS-FAMILI lakukan walaupun telah hampir 7 tahun berada di Kuala Terengganu. Sebelum ini bukan tak tahu tapi saja tak mahu. Sekarang baru mahu, manalah tahu tiba-tiba abah diarahkan bertugas di tempat lain dalam masa terdekat ini seperti negeri Perak ke. Sekurang-kurang dan merasa menaiki bot menelusuri Sungai Terengganu.


      Seperti Taman Monumen, aktiviti River Cruise menelusuri Sungai Terengganu juga boleh didapati di Taman Tamdun Islam. Walaupun kaunter jualan adalah berbeza namun kedudukannya tidaklah jaun antara satu dengan yang lain. Malah tiket secara kombo (tiket Taman Monumen + River Cruise) juga ada dan boleh dibeli di mana-mana kaunter. Harga tiket dan masa operasi sila baca sendiri ye kat atas tu.


      Memandangkan hari RIS-FAMILI menaiki bot river cruise ini bukan merupakan cuti sekolah atau cuti kelepasan am, jadi tak ramai orang yang menunggu. Masa RIS-FAMILI sampai hanya ada satu keluarga sedang menunggu. Tunggu pun tak lama. Lepas tu ada lagi satu famili lagi turut serta. Semua penumpang diminta pakai jaket keselamatan termasuklah si kecil Husna Syifa. Tapi tak de la pula jaket baby jadi kenalah pakai jaket kanak-kanak. Nampak dia macam tak selesa tapi tak pula menangis.


      Perjalanan pergi balik mengambil masa lebih kurang 40 minit sambil disulami sesi penerangan oleh pramugari petugas berkenaan tempat-tempat yang dilalui. Antara tempat yang dilalui adalah Masjid Kristal, perkampungan Seberang Takir, Ri-Yaz Pulau Duyung dan beberapa lagi tempat. RIS-FAMILI mengambil peluang bergambar pemandangan Kuala Terengganu dari sudut berbeza. Best sangat.

# Entri berikut ini pun ada diselitkan berkenaan river cruise juga. (Klik utk baca)
1. Percutian Melaka
2. Percutian Kuching

19 Nov 2015

Taman Monumen @ Taman Tamadun Islam

      Pada 14 November 2015 baru-baru ini, RIS-FAMILI pergi berlibur ke Taman Monumen yang terletak di Taman Tamadun Islam. Tapi percayakah anda bahawa inilah kali pertama RIS-FAMILI masuk ke sana walaupun sudah hampir 7 tahun RIS-FAMILI bermastautin di Kuala Terengganu. Walaupun jaraknya hanya sekangkang kera (perumpamaan) namun itulah realitinya. Namun Masjid Kristal yang juga terletak di Taman Tamadun Islam telah acap kali dikunjungi.


Harga tiket waktu beroperasi untuk masuk adalah seperti diatas (baca sendiri ye). Selepas beli tiket, passport akan diberikan untuk digunakan semasa berada di dalam taman tersebut. Konon-konon macam melancong keserata negara yang ada monumen tersebut. Passport tersebut akan di cop semasa masuk dan keluar. Perkhidmatan menyewa tram dan basikal juga disediakan kepada yang tak mahu berjalan kaki.


Terdapat maklumat berkenaan monumen tersebut di dalam passport untuk dirujuk. Juga terdapat papan tanda maklumat berhampiran monumen masjid. Mesti semua dah tahu masjid berbumbung biru yang ditunjukkan di atas. Manakala gambar di bawahnya adalah monumen masjid di Thailand.


Antara monumen yang menarik perhatian adalah monumen masjid di Tanah Suci iaitu di Mekah, Madinah dan Palestin. Kepada sesiapa yang belum pernah ke sana, apa kata tengok monumen dahulu bagi membangkit keinginan untuk ke sana.


Yang ini pula monumen masjid di China, Rusia, Uzbekistan dan Afghanistan. Sebenarnya waktu RIS-FAMILI masuk kesana keadaan cuaca adalah panas terik jadi tak bolehlah belek monumen tersebut secara terperinci, hanya tengok dari kawasan yang redup je. Hanya sekali sekala pergi belek-belek dan bergambar.


Kepada yang belum masuk, monumen ni boleh tengok kat binaan luar je sebab kecil je tak de pintu dan tak muat nak masuk pun. Bagi Masjd Negara, Masjidil Haram dan Taj Mahal terdapat bilik pameran dan bilik tayangan berkenaan tempat tersebut. RIS-FAMILI sempat masuk untuk Masidil Haram dan Taj Mahal je sebab bilik tayang Masjid Negara tak ada orang jaga.


Teruja sangat melancong keserata pelusuk dunia sampai terlupa nak ambil gambar beberapa monumen sepeti Taj Mahal. Ada juga yang sempat diambil gambar tapi terlupa pula monumen yang apa, contohnya seperti gambar di atas. Tak apa la asalkan ada gambar. Bagi yang terlupa dan tak ada gambar dalam simpanan, macam kena pergi lagilah untuk ambil gambar monumen-monumen tersebut. Manalah tahu nanti kalau-kalau taman ni buat hari terbuka, masuk free. Harap-harap ada la.

Sebenarnya ada lagi tempat yang sekangkang kera dari rumah yang hanya dijejaki baru-baru ini. Ikuti sambungannya di entri akan datang.

15 Nov 2015

Husna Syifa | Langkah Pertama Di Tahun Baru

Pada tahun baru 1 Muharram 1437 lalu, Husna Syifa telah berjaya berjalan tanpa berpaut pada walker atau barang. Tarikh tersebut bersamaan dengan 14 Oktober 2015 iaitu ketika umur Husna Syifa setahun 10 hari.
Bolehlah Husna tengok kembali bila dia dah besar nanti.
* Nak bagitau juga : Husna lahir pada pagi Aidiladha dan kali ini boleh berjalan pada hari pertama tahun baru Islam. Alhamdulillah.

9 Nov 2015

Beradik @ Umur Setahun.

Sebelum itu apa kata tengok wajah kami masa dilahirkan dan bila umur dua & tiga bulan.
DAN

Seperti dijanjikan semasa entri 3 beradik hari pertama dilahirkan, ini dia wajah ketiga-tiga beradik semasa masing-masing berumur setahun. Comel dan geram sangat nak peluk.

Amin Setahun

Humaira setahun

Husna Setahun
Apakah persamaan adik beradik ini.... sudah tentunya ketiga-tiganya comel.
Apakah perbezaan adik beradik ini.... rambut : rambut Husna masih halus manakala rambut Amin dan Humaira dah lebat.

27 Okt 2015

BAJET 2016 - MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT

      Bajet 2016 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015. Terdapat beberapa perkara yang menarik minat RIS-FAMILI yang juga dirasakan kena mengena walaupun sedikit dengan RIS-FAMILI.

……GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung……

……mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016……

……Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat……

……1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA……

……Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya……

……Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam……

……Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit……

……anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa……

……kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam……


      Namun kali ini, RIS-FAMILI tidak dapat merasa Bantuan Persekolahan RM100 kerana pada tahun ini telah ditetapkan hanya untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3000 sebulan seisi rumah. Jika sebelum ini tiada syarat berkenaan.

      Untuk membaca ucapan penuh bajet 2016 sila baca/klik di sini (Ucapan Bajet 2016)
Manakala untuk membaca petikan pilihan RIS-FAMILI untuk Bajet tahun 2011 hingga 2015 sila taipkan 'Bajet' dalam kotak "carian entri terdahulu" di kolum sebelah kanan.

25 Okt 2015

Sesi Persekolahan & Cuti Penggal

      Dah banyak blog yang berkongsi sesi persekolahan dan cuti penggal dan RIS-FAMILI pun seperti tahun-tahun lalu ingin juga berkongsi maklumat yang memang ditunggu-tunggu semua ibubapa. Ada yang berkongsi maklumat yang didapati dari media sosial dan ada yang berkongsi maklumat dari website yang boleh dipercayai. Dan perkongsian RIS-FAMILI adalah dari sumber yang dipercayai iaitu website Kementerian Pendidikan sendiri.
      Terdapat dua jadual iaitu yang pertama untuk negeri berhujung minggu pada Jumaat dan Sabtu iaitu bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor manakala yang kedua untuk negeri bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad iaitu selain dari negeri yang telah dinyatakan tadi.
Jadual 1 : Sesi Persekolahan dan Cuti Penggal bagi negeri berhujung minggu Jumaat dan Sabtu

Jadual 2 : Sesi Persekolahan dan Cuti Penggal bagi negeri berhujung minggu Sabtu dan Ahad
      Dah ada jadual ni senanglah sikit untuk merancang percutian dan aktiviti bersama anak-anak. Tapi lebih bagus kalau dah ada jadual percutian rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan. Nanti RIS-FAMILI kongsikan ye.

Bagi yang ingin melihat secara terus dari website Kementerian Pendidikan sila klik link ini ---> Sesi Persekolahan MOE

19 Okt 2015

Fiesta Kenali Ubat Anda

      Cuti Malaysia dan Cuti Pertengahan Persekolahan baru-baru ini, RIS-FAMILI sibuk dengan aktiviti luar. Jika Cuti Hari Malaysia dipenuhi dengan acara Hari Keluarga pejabat mak dan bermandi-manda di Kenyir Water Park, maka cuti persekolahan pula RIS-FAMILI pergi menyertai 'Fiesta Kenali Ubat Anda' yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC).
      Sebenarnya Fiesta ini dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Negeri Selangor dan penglibatan adalah terbuka kepada semua tak kira samaada warga kesihatan atau tidak. Kesempatan inilah yang diambil oleh RIS-FAMILI untuk turut memeriahkan majlis ini. Jika tidak, hanya mak sahaja yang boleh berfiesta join. Seperti biasalah, peserta perlu mendaftarkan diri dan adalah goodies sebagai bukti penyertaan.
      Majlis ini sudah tentulah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan (Dato Seri Dr. S.Subramaniam) dan sempatlah abah jadi jurukamera tak rasmi mengambil gambar ketibaan Menteri Kesihatan. Lagipun tak muat bahagian dalam dewan memandangkan ramai peserta/pengunjung. Sambil-sambil mak mendengar perasmian, bolehlah abah berpeleseran melihat pemeran di bahagian luar.
      Mak yang teruja berjumpa dengan kawan-kawan sepejabat dari seluruh Malaysia tak melepaskan peluang bergosip-gosip bertanya kabar dan semestinya bergambar sebagai kenangan. RIS-FAMILI berfiesta dari mula perasmian hinggalah hampir selesai fiesta ini.
      Selain pameran, ada juga aktiviti lain seperti aktiviti merwarna, main dam, persembahan pentas, aktiviti teka-teki dan aktiviti mengutip cenderahati di booth pameran. Banyak jugalah cenderahati yang abah kutip.
      Walaupun banyak aktiviti sampingan dan suasana bising, Husna tetap juga berjaya tidur. Syukurlah ada bawa buggy, kalau tak penat juga nak mendukung sikecik ni.
      Inilah antara aktiviti sampingan yang dimaksudkan itu iaitu persembahan pentas dan berbaju merah pula adalah kumpulan dikir yang didatangkan khas dari Kelantan. Jangan tak percaya, kumpulan dikir ini ada album mereka sendiri dan album tersebut diedarkan semasa fiesta ini.
      Walaupun agak kepenatan dari pagi ke petang berfiesta namun RIS-FAMILI tak melepaskan peluang untuk ke Kompleks PKNS yang berada bersebelahan untuk widows shopping pula selepas itu. Alang-alang dah penat, biar penat habis-habisan.

30 Sep 2015

Cuti-Cuti Malaysia | Kenyir Water Park

      Hari Malaysia baru-baru ini, RIS-FAMILI tidak melepaskan peluang menyertai hari keluarga anjuran pejabat mak di Pengkalan Gawi. Tidak jauh dari lokasi hari keluarga ini adalah taman tema 'Kenyir Water Park' yang terletak di pulau berdekatan. Jadi RIS-FAMILI mengambil kesempatan untuk melihat apa yang ada di pulau tersebut. Tambahan pula peserta hari keluarga akan mendapat harga promosi iaitu RM16 berbanding harga sebenar iaitu RM25. Harga ini adalah termasuk harga bot pergi balik dari Pengkalan Gawi ke pulau terletaknya taman tema tersebut.
      Kalau mengikut website, pada hari biasa taman tema ini dibuka setiap hari kecuali Selasa. Namun pada musim cuti persekolahan dan cuti umum, hari Selasa pun dibuka.
      Untuk ke sana sekarang ini, perlulah menaiki bot yang disediakan dan (harga tiket taman tema dah termasuk tambang bot). Namun pada masa RIS-FAMILI pergi, kelihatan jambatan sedang dibina dan selepas ini mungkin ada dua alternatif untuk ke taman tema tersebut iaitu melalui jambatan atau menaiki bot. Tak pun mungkin bot untuk ke taman tema pun dah dibersarakan.
      Sekarang ini masih tak banyak permainan yang ada sebab masih baru tapi RIS-FAMILI percaya banyak lagi permainan baru akan ditambah sebab masih ada banyak kawasan untuk penambahan. Masa pergi hanya 3 jenis permainan iaitu kolam besar dengan permainan di dalamnya, kolam kedua yang ada bot untuk kanak-kanak berkayuh (orang dewasa tak boleh) dan 2 gelongsor sederhana xtreme sebab kanak-kanak pun boleh gelongsor.
      Kemudahan lain adalah dengan serupa taman tema lain-lain seperti peti simpanan barangan, tandas/bilik persalinan, kafetria, surau, cabana/wakaf. Bagi yang tak mahu basah mandi, ada kawasan berbumbung dan berkipas untuk menunggu dan kebiasaan kaum ibu lah yang ramai di sini sebab kaum bapa ditugaskan bersukaria memantau anak-anak bermain air. Yang nak berprivasi, wakaf/cabana juga disediakan tapi bilangan adalah terhad.
      Dari pandangan RIS-FAMILI untuk permainan yang ada pada masa ini, bolehlah diterima jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan (harga promosi hari keluarga). Tapi harap cepat-cepatlah tambah lagi tarikan terbaru yang lain supaya pengunjung yang datang jauh rasa berbaloi untuk datang ke sini.
      Buat masa ini janganlah dibandingkan kehebatan dan ke'extreme'man taman tema ini dengan taman tema yang lebih senior seperti Lost World of Tambun, Gambang Waterpark, Bukit Merah Waterpark atau yang lain-lain kerana taman ini masih baru dibuka.
      Bagi RIS-FAMILI matlamat datang ke sini adalah untuk menghiburkan anak-anak bagi mengisi masa cuti Hari Malaysia. Dan matlamat ini nampaknya tercapai kerana permainan di sini nampaknya lebih sesuai untuk kanak-kanak buat masa ini.

Maklumat lanjut di; 
(Promosi percuma sebab dah bagi potongan harga hari keluarga)

18 Sep 2015

Hobi Baru | Perkembangan Pokok Jagung


      Seperti dijanjikan sebelum ini, RIS-FAMILI kongsikan perkembangan pokok jagung bagi bulan pertama ini. Amin amat rajin menjaga pokok jagung ini. Tiap-tiap hari selepas balik sekolah, Amin tak lupa menyiram pokok jagung ini di sebelah petang. Hanya bila hari hujan sahaja Amin tak siram. Pokok jagung hasil tanaman Amin dah mula menunjukkan perkembangan yang membanggakan. Lihatlah sahaja perkembangan pokok ini sepertimana ditunjukkan di bawah;

 Hari ke 7

Hari ke 15

Hari ke 28

In Sha Allah kalau dah berhasil nanti, RIS-FAMILI akan kongsikan lagi. Tunggu ye...

23 Ogo 2015

Hobi Baru - Bercucuk Tanam

      Baru-baru ini selepas balik sekolah, Amin memberitahu yang dia ingin menanam sayur di kawasan kosong di belakang rumah. Memandangkan dia dah bersungguh-sungguh nak menanam sayur jadi abah pun setuju tapi hanya boleh mula pada hujung minggu sebab kesuntukan waktu jika dibuat masa sekolah. Lagipun boleh dia jadikan hobi baru yang boleh mendatangkan manfaat. Manfaat dari segi keluar peluh dan juga dapat hasil jika hobi ini berjaya. Selain itu dapat juga mengelakkan kebosanan bila ada waktu terluang.
      Seperti dijanjikan, pada hujung minggu abah bawa Amin pergi kedai untuk dia memilih sendiri benih apa yang dia nak tanam. Walaupun asalnya dia nak tanam sayur tapi bila dah sampai kedai, Amin jadi rambang mata melihat banyak jenis benih yang boleh dipilih. Memandangkan abah hanya benarkan pilih satu sahaja jadi Amin memilih benih jagung sebagai projek perintis untuk menjadi petani berjaya. Kalau projek pertama ini berjaya baru boleh tambah lagi tanaman lain pula. Cuba yang ini dulu.
       Projek bermula pada sebelah petang jadi sebelum memulakan projek berkebun, abah suruh Amin tidur dulu supaya banyak tenaga untuk mencangkul tanah dan menanam nanti. Dan arahan diikuti tanpa banyak soal. Semasa Amin tidur, abah meninjau dahulu tapak yang bersesuai untuk berkebun dan proses pembersihan rumput-rampai dibuat supaya senang nanti Amin berkebun. Dan hasilnya dapatlah satu sudut kecil untuk Amin berkebun.
       Bila Amin terjaga je terus je dia cuci muka dan bersedia untuk berkebun. Bersemangat sungguh Amin. Macam dah berpengalaman je Amin mencangkul tanah bagi menggembur tanah dan membuat batas untuk ditanam jagung. Sekejap je dah siap cangkul.
       Proses seterusnya adalah membuat lubang bagi meletakkan benih yang telah dibeli tadi. Amin meletakkan dua benih dalam satu lubang sepertimana arahan yang ada di bungkusan. Cekap sungguh Amin. Disebabkan kawasan kecil je jadi dapatlah tanam untuk lima lubang je. Masih ada baki dalam bungkusan jadi simpan untuk projek seterusnya. Tapi sebelum tu tengok dulu hasil untuk projek kali ini.
       Dah taman apalagi tabur baja dan siram la. Nak siram pun Amin ada tekniknya untuk elak batas tanaman rosak. Memandangkan tiada bekas siraman air yang ada pancuran dihujungnya, jadi Amin gunakan tangan sebagai penahan kelajuan air yang jatuh ke batas tanaman. Bijak... bijak....
      Dah selesai semuanya apa lagi tunggu hasilnya je la. Tapi abah dah pesan, jangan lupa siram setiap hari dan tabur baja setiap dua minggu. Harap-harap hobi Amin ni berterusan dan menampakkan hasilnya. In sha Allah.

10 Ogo 2015

Program Bahasa Inggeris Cuti Pertengahan Tahun | PPAT

      Agak lewat untuk berkongsi cerita tentang aktiviti cuti pertengahan tahun 2015 lalu. Namun walaupun lewat, RIS-FAMILI tetap nak masukkan ke dalam online diary ini untuk simpanan.
      Pada 31 Mei hingga 13 Jun 2015 lalu, Amin telah mengikuti Program 'Effective Communication Skills - School Holiday English Programme' anjuran Pusat Bahasa Terengganu. Ini adalah kali ke tiga Amin join program ini kerana dia minat aktiviti yang dijalankan semasa program tersebut. Selain belajar secara formal, terdapat juga aktiviti menonton filem orang putih, aktiviti di bilik komputer dan persembahan dalam bahasa orang putih. Bagi mak dan abah, tak kisah la apa aktiviti yang diikuti di musim cuti ini, asalkan aktiviti tersebut berfaedah dan masa cuti tak tersia-sia begitu sahaja.
      Lagipun tak de siapa pun kat rumah nak memantau aktiviti Amin di rumah maklumlah mak dan abah pergi kerja manakala Humaira dan Husna berada di Tadika/Taska. Penutup aktiviti bagi kelas Amin adalah membuat persembahan nyanyian beramai-ramai.
      Pada kali ini, Cikgu kelas Amin adalah Sir Goh dan terdapat seramai 14 pelajar sahaja. Kelas bermula pukul 8.30 pagi dan selesai pukul 1.00 tengahari.

16 Jul 2015

Salam Aidilfitri dari RIS-FAMILI

      Selamat menyambut hari lebaran. Maaf Zahir Batin dari RIS-FAMILI untuk semua pembaca blog ini. Tahun ini RIS-FAMILI beraya di Perak setelah Aidiladha lalu RIS-FAMILI beraya di Terengganu kerana meyambut kedatangan 'Baby Aidiladha' (klik utk baca).
Gambar recycle tahun lalu kerana tidak ada gambar berlima yang sesuai untuk dijadikan gambar kad ucapan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails