26 Feb 2015

Cuti Cuti Malaysia | Melaka Part 2


Mendarat di Melaka di hari ke 3
      Aktiviti hari ketiga adalah aktiviti basah-basah. Dan tempat menjadi pilihan adalah Melaka Wonderland. Tak begitu besar berbanding taman tema utama yang lain seperti Bukit Merah, Gambang dan Sunway tapi tetap menarik pehatian Amin dan Humaira. Konsep digunakan adalah sama dengan taman tema yang lain. Kena pakai gelang (tiket) yang dibeli dan tak boleh bawa makanan dan minuman dari luar. Tapi RIS-FAMILI tetap bawa makanan dan minuman juga (tak banyak) sebab nak bersukaria dalam wonderland ini lama-lama. Sama seperti lawatan zoo sebelum ini, aktiviti di Wonderland ini pun dijadualkan sepanjang siang dan tiada aktiviti lain sepanjang siang di hari ketiga.

Terdapat 2 kolam utama untuk bermain air. Tapi lupa pula ambil gambar sebab dah seronok bermain air. Terdapat beberapa khemah permainan untuk mencuba nasib (macam kat fun fair), kalau berjaya dapat hadiah. Tapi itu tak menarik minat RIS-FAMILI kerana tujuan utama hanya untuk mandi-manda. Tiket masuk adalah RM31.50 untuk dewasa dan RM24.75 untuk kanak-kanak dan RIS-FAMILI rasakan agak mahal jika dibandingkan dengan kemudahan yang ada.
      RIS-FAMILI tak melepaskan peluang bergambar dengan maskot Melaka Wonderland yang sabar menanti pengunjung yang hadir walaupun cuaca agak panas semasa RIS-FAMILI sampai. Pastinya orang dalam maskod tersebut kebasahan dengan peluh. Pada pendangan RIS-FAMILI, pihak Wonderland perlu mempelbagaikan lagi aktiviti yang ada disamping menjalankan promosi yang lebih hebat bagi menarik perhatian pengunjung. Kalau boleh turunkan sikit harga tiket bagi menarik lebih pengunjung.

      Sebelah malam pada hari ketiga ini hanya diisi dengan aktiviti ronda-ronda di sekitar bandar Melaka sambil membeli belah cenderahati untuk di bawa balik.


21 Feb 2015

Cuti Cuti Malaysia | Melaka Part 1

      Percutian RIS-FAMILI pada akhir Disember 2014 bersambung lagi, jika sebelum ini becuti di Kuala Lumpur untuk beberapa hari (klik utk baca) kali ini bersambung ke Melaka pula. Di Melaka, RIS-FAMILI memilih Hotel Sentral. Rupanya hotel ini dahulunya adalah Hotel Grand Continental yang telah diambilalih oleh Hotel Sentral. Patutlah rasa macam familiar je (klik jika tak percaya). Hari pertama di Melaka hanya pergi window shopping dan makan-makan je sebab dah penat dalam perjalanan. Tempat pilihan dah tentunya Dataran Pahlawan.
      Hari kedua baru bermula aktiviti besar. Sepanjang siang, jadual dah dibooking oleh Zoo Melaka. Nak bagi Amin, Humaira dan Husna tengok haiwan puas-puas, malah makan-minum pun semuanya kat kedai dalam kawasan zoo. Dan tentunya persembahan haiwan pada pukul 3.00 petang juga tidak boleh dilepaskan oleh RIS-FAMILI. Aktiviti lawatan bermula dengan berjalan kaki sekitar zoo supaya boleh tengok lama-lama haiwan dan sebelum balik RIS-FAMILI menaiki tram yang disediakan untuk meronda zoo. Lagipun bila naik tram, bolehlah rehat sambil menikmati siaran ulangan haiwan di zoo. Ini adalah lawatan ke Zoo Melaka kedua kali bagi Amin dan pertama kali bagi Humaira dan Husna.

      Setelah sepanjang siang penat berzoo, malamnya RIS-FAMILI ke dataran Pahlawan lagi untuk aktiviti malam. Dan dah tentunya beca menjadi pilihan bagi menikmati pemandangan malam bandar Melaka. Disebabkan kami berlima, jadi kenalah sewa dua biji sewa. Seperti diduga, Humaira memilih beca dengan hiasan Hello Kitty, manakala Amin nak beca Ben 10 tapi tak ada. Tapi Amin tak kisah sangat, asalkan naik beca udah ler. Akhirnya 2 beca hello kitty menjadi pilihan. Best sangat.
      Satu lagi aktiviti yang mesti dicuba mestilah menaiki 'Menara Taming Sari'. Pada percutian kali ini RIS-FAMILI menaiki menara ini dua kali. Permulaannya hanya dinaiki oleh abah dan Amin sahaja dan kali kedua mak, Humaira dan Husna pun join sekali. Gayat tapi menarik. Dah banyak kali RIS-FAMILI naik menara ni sebab setiap kali ke Melaka ini adalah salah satu tempat yang dikunjungi (klik sini dan sini utk baca).



1 Feb 2015

Cuti-Cuti Malaysia | Planetarium Kuala Lumpur

      Awal Disember 2014 lalu iaitu masa cuti persekolahan akhir tahun, RIS FAMILI bercuti ke Kuala Lumpur dan antara tempat yang dikunjungi adalah Planetarium yang terletak di Jalan Perdana. Terletak tidak jauh dari Masjid Negara di antara Muzium Negara dan Muzium Kesenian Islam. Ini adalah kali pertama RIS-FAMILI berkunjung di sini setelah berkali-kali ke Petrosains di KLCC.
      Kedudukan planetarium yang terletak di atas bukit tidak ada masalah buat RIS-FAMILI untuk ke sana sambil menolak stroller Husna kerana terdapat tempat letak kereta di sekeliling planetarium. Itu pun RIS-FAMILI dapat parkir apabila ada kereta yang keluar, kalau tidak dah tentu kena parkir kat bawah bukit. Bilangan parkir yang terhad di berdekatan bangunan planetarium pasti penuh jika ramai pengunjung.
       Merasa juga Amin masuk dalam liputan berita dalam 'Akhbar Planetarium Negara'. Sememangnya Amin yang paling teruja bila pergi tempat seperti ini. Semua jenis permainan interaktif dan model kapal angkasa dia cuba.

      Masuk adalah percuma jika hanya untuk ke galeri pameran. Namun jika ingin melihat tayangan wayang (dokumentari) tentang angkasa lepas (skrin meliputi keseluruhan bumbung wayang), bayaran RM 6 untuk dewasa dan RM 4 untuk kanak-kanak dikenakan. RIS-FAMILI dah tentunya nak tengok tayangan tersebut. Terdapat banyak tajuk dokumentari yang ada mengikut masa yang ditetapkan tapi masa giliran RIS-FAMILI, dokumentari yang ditayangkan adalah 'Across The Universe'. 
      Terdapat juga menara peninjau untuk melihat persekitaran Kuala Lumpur. Lihatlah aksi Amin meneropong ke segenap pelusuk Kuala Lumpur. Humaira pula tak dapat meneropong dengan selesa kerana teropong tersebut agak tinggi berbanding saiznya.


       Ini adalah antara permainan interkatif yang ada dan berulang kali Amin dan Humaira bermain. Ianya dipancarkan ke atas lantai dan tugas Amin dan Humaira adalah untuk menahan Asteroid dari menghentam bumi. Hanya gunakan kaki untuk menahannya.
      Bagi RIS-FAMILI, lokasi yang menarik untuk dikunjungi oleh seisi keluarga kerana terdapat banyak maklumat berkenaan angkasa boleh dipelajari. Banyak model kapal angkasa dan permainan interaktif yang boleh di cuba. Rasanya akan datang lagi bila berkesempatan.